Aug 5, 2011

Tazkirah Ramadhan | Kisah Nelayan & Mutiara

Assalamualaikum wbt. Amacam hari ke-5 berpuasa? Penulis rasa mesti ramai yang dah siap sedia set ringtone lagu raya kan? Hahaha. Sebenarnya tak salah bersemangat nak sambut 1 Syawal, cuma sebelum tu sama-samalah kita berusaha merebut segala kelebihan yang ditawarkan sepanjang bulan Ramadhan ni. Jadi dalam entri ni, penulis nak berkongsi satu kisah teladan bertajuk Nelayan & Mutiara.

Pada suatu hari, seorang nelayan menjumpai sebutir mutiara yang sangat luar biasa cantiknya. Lalu beliau menawarkan mutiara tersebut kepada semua penjual mutiara di seluruh negeri. Namun tiada satu pun yang mampu membelinya. Akhirnya seorang penjual mutiara memberi cadangan kepada Sang Nelayan supaya menawarkan mutiara tersebut kepada Raja kerana baginda sahajalah yang mampu membelinya.

Lantas nelayan tersebut membawa mutiara itu kepada Raja. Namun Raja juga bingung untuk meletakkan berapa harga yang perlu dibayar untuk membeli mutiara yang begitu indah bentuknya dan amat berkilau-kilau cahayanya. Setelah berfikir, Raja pun membuat satu tawaran. Sebagai pertukaran kepada mutiara yang luar biasa itu, baginda memberikan kesempatan kepada Sang Nelayan untuk menikmati kekayaannya selama enam jam. Sang Nelayan juga boleh mengambil apa sahaja yang beliau inginkan dalam waktu itu.

Lalu nelayan tersebut dibawa ke gudang yang menempatkan segala kekayaan yang dimiliki Raja. Gudang tersebut terbahagi kepada tiga ruang. Ruang pertama dipenuhi dengan makanan istana. Semua makanan terhidang menunggu untuk dijamah. Ruang kedua ialah kamar istana. Segala barangan & kelengkapan sungguh mewah dan begitu asing bagi seorang nelayan. Ruang ketiga ialah bilik harta. Berbagai emas permata bertaburan. Kemilau mutiara dan berlian menyilaukan mata memandang. Beragam senjata pusaka kerajaan juga tertata dengan rapi. Belum lagi koleksi barang-barang unik dan berharga yang beraneka macam. Satu saja diantara barang barang itu, sudah boleh membuat seorang kaya raya dan menikmati kehidupan yang mewah hingga akhir hayatnya. Bahkan boleh pula diwariskan kepada anak cucunya.

Sebaik bermula enam jam yang ditawarkan, ruang pertama yang dituju nelayan terbabit ialah ruang makan istana. Saat itu beliau berfikir, selama ini beliau hanya makan ikan saja di rumah. Alangkah nikmatnya kalau menikmati makanan istana negara terlebih dahulu. Kemudian makanlah beliau sepuas-puasnya, sepenuh-penuh kerongkongan dan perutnya. Dua jam yang pertama dihabiskan hanya untuk menjamu selera. Setelah makan, beliau berasa mengantuk.

Untuk pertama kali dalam seumur hidup, beliau ingin merasa nikmat tidur di kamar istana. Didalam hati beliau, "Kalau aku tidur dua jam sekalipun, aku masih ada dua jam lagi untuk mengambil harta di ruang ketiga". Maka tidurlah beliau dengan nikmatnya, sepenuh kelopak matanya.

Terasa baru sekejap melelapkan mata, pengawal istana sudah datang membangunkannya. Waktu anda sudah habis. Enam jam telah berlalu. Silalah meninggalkan istana ini. Sang Nelayan merayu, untuk diberi masa sekejap sahaja lagi untuk beliau mencapai barang-barang yang berada di bilik harta tersebut. Lima minit pun jadi lah. Namun pengawal terbabit tidak membenarkannya kerana perjanjian Sang Nelayan dengan Raja hanyalah enam jam. Mahu tidak mahu, dia harus bangun, meninggalkan istana dan melupakan impiannya untuk hidup dengan senang-lenang.

Sang Nelayan begitu menyesal kerana tidak memanfaatkan masa yang diberikan dengan sebaiknya. Sepatutnya enam jam adalah waktu yang teramat panjang baginya untuk membawa keluar sebanyak mana harta yang berada di hadapan matanya dan membina hidup yang diimpikan oleh setiap manusia daripada sekadar makan dan tidur...

Begitulah keadaan kita sekarang ini, ditambah lagi pada bulan Ramadhan yang sudah dijanjikan kepada umat Islam, berbagai-bagai keistimewaan yang boleh direbut. Setiap detik sangat berharga. Terpulanglah kepada kita untuk memanfaatkannya semampu mungkin.

Jangan sampai kesedaran itu datang saat kesempatan itu telah pergi. Atau mungkin kesedaran itu hanya datang pada saat malaikat Izrail datang menjemput nyawa, membawa kita meninggalkan ladang amal di dunia ini sementara diri ini belum mempunyai bekal yang cukup untuk dibawa menghadap Allah.

Janganlah kita tergolong dalam orang-orang yang rugi, rebutlah segala peluang yang kita kecapi sekarang. Segera, sebelum enam jam kita habis, dan sebelum kita dipanggil keluar dari istana.

Wallahualam.


3 comments:

Unknown said...

Best :)

yui said...

rugi..rugi.. =p=p=p

Unknown said...

moral of the story : jgn mkn n tdo byk..wee~ doin nothin sbnrnye kan 6 jam tu..peringatan utk diri sy sndri ni=)