close button

Sunday, December 18, 2011

Kenali Pemain Harimau Malaya: Baddrol Bakhtiar

Kalau Safiq Rahim dilabel pakar sepakan percuma, kapten Harimau Muda ini boleh dianggap sebagai pakar sepakan jarak jauh. Tengok saja ketika Sukan SEA baru-baru ni, percubaan jarak jauh daripada Baddrol Bakhtiar banyak menghasilkan gol buat negara.



Sebenarnya persembahan Baddrol dalam Sukan SEA dua tahun lepas juga cukup cemerlang apabila beliau berjaya menjaringkan beberapa gol cantik untuk pasukan negara. Namun sejak kebelakangan ni beliau jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Datuk K. Rajagopal. Buktinya dia tidak terpilih untuk beraksi di Piala AFF Suzuki 2010 dan juga dalam kempen kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Workrate pemain Kedah ni memang terbaik, cuma beliau perlu membuat keputusan tepat dalam melakukan percubaan sebab kadang-kadang penulis tengok Bad ada habit nak buat percubaan yang sekadar nampak cantik tapi kurang berhasil. Contohnya dalam satu perlawanan tu, Baddrol memilih untuk melakukan bicycle-kick sedangkan beliau ada masa & ruang untuk menolak bola ke dalam gol dengan mudah. Hasilnya, bola tak mencecah kaki dan peluang disia-siakan. Buang habit tu, dan penulis harap beliau kembali mendapat peluang bermain untuk Harimau Malaya untuk masa akan datang.

BIODATA BADDROL BAKHTIAR

Nama Penuh: Baddrol bin Bakhtiar
Nama Panggilan: Bad
Tarikh Lahir: 1 Februari 1988 (23 tahun)
Tempat Lahir: Sarawak
Tinggi: 1.82 m
Posisi: Tengah / Sayap Kanan
Nombor Jersi: 23, 11 (Malaysia), 10 (Malaysia B23), 7 (Kedah)

Karier Bola Sepak:
2005-2006 Skuad Piala Presiden Kedah
2006-Kini Kedah FA

Kejuaraan:
Juara Sukan SEA 2009, 2011

Anugerah:
Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2010 - Pemain Tengah Terbaik


INFO MENARIK BADDROL BAKHTIAR

1. Baddrol membesar di Sungai Petani, Kedah namun ramai yang tidak tahu bahawa beliau sebenarnya dilahirkan di Sarawak. Ibu dan ayahnya berasal dari Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak keempat dari lima beradik dan ayahnya adalah pesara tentera.

2. Dalam kejohanan Piala Juara Belia 2007, Baddrol yang beraksi untuk pasukan Malaysia Bawah 19 Tahun menunjukkan persembahan yang cemerlang ketika menentang Chelsea seterusnya menarik minat kelab itu untuk membawanya ke Stamford Bridge. Pada 6 April 2008, Pengerusi Gifted Group Jonathan Price mengotakan janjinya untuk memberi pengalaman kepada Baddrol dan rakannya Mohd Bunyamin Omar untuk mengikuti latihan selama dua minggu di Stamford Bridge bersama pemain muda Chelsea dan bintang senior mereka seperti Shaun Wright-Phillips, Steve Sidwell dan Nicolas Anelka.

3. Sebelum tamat tempoh pendaftaran pemain bagi musim 2012, Baddrol pernah menyatakan hasrat untuk mengikut jejak penyerang Harimau Malaya, Safee Sali ke kelab Pelita Jaya. Namun kapten pasukan Kedah ini akhirnya membuat keputusan untuk terus kekal bersama skuad Kenari.

4. Nama Baddrol menjadi topik hangat dikalangan peminat bola sepak tanah air pada Ogos 2011 apabila website bola sepak, eyefootball.com menyatakan Wigan berminat untuk menawarkan Baddrol tempoh percubaan (trial) bersama kelab EPL tersebut. Namun berita tersebut akhirnya disahkan sekadar khabar angin.

5. Beliau pernah mewakili pasukan bawah 20 tahun Malaysia pada kejohanan kelayakan Belia Asia pada tahun 2005. Malaysia berjaya menumpaskan Myanmar 4-2 dan layak bermain di Bangalore, India pada tahun 2006. Bagaimanapun, penampilan pertama Baddrol dalam kejohanan Belia Asia bermula dengan langkah kiri apabila dia menjaringkan gol sendiri semasa Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam dalam perlawanan pembukaan.

6. Baddrol membuat penampilan antarabangsa pertama menentang Kenya pada 12 Ogos 2009 dan berjaya menjaringkan gol pertama untuk pasukan senior negara pada 18 November 2009 ketika melawan Uzbekistan.

7. Pernah mendapat liputan oleh website bola sepak popular, goal.com setelah berjaya menjulang Malaysia selaku Sukan SEA kali kedua berturut-turut. Skuad Harimau Muda turut diberi pujian dalam artikel tersebut.

0 Pengkritik Jemputan: